Friday, March 18, 2011

Sumbangan al-Imam al-Syafi’i dalam disiplin ilmu khususnya dalam ilmu usul al-fiqh.


Latar Belakang.
Nama penuh al-Imam al-Syafi'i ialah Abu Abdullah Muhammad Ibn Idris Ibn al-Abbaas Ibn ' Uthman Ibn Syaafi' lbn al-Sa' ib Ibn 'Ubaid Ibn Abd. Yazid Ibn al-Muttalib Ibn Abd Manaf, moyang kepada Nabi Muhammad s.a.w.[1]
Bapa beliau berasal dari Tha’balah, sebuah daerah yang masyhur di antara Madinah dan Yaman. Bagaimana pun beliau tidak tinggal di situ, sebaliknya menetap di Asqalan , Palestin dan meninggal di situ.[2] Sementara ibunya pula Fatimah bt. Abdullah dari keturunan 'Uzd[3] seorang yang terkenal dengan warak dan rupawan. Beliau dikatakan banyak mempengaruhi jalan hidup al-Syafi'i.
Al-Syafi’i dilahirkaan di Ghazzah, Syam (Syria) pada tahun 150 Hijrah iaitu pada tahun kematian al-Imam Abu Hanifah. Sejak kecil lagi, ibu al-Syafi'i memindahkan anaknya itu ke Mekah, tempat di mana majoriti orang Quraisy berada ketika beliau masih berusia dua tahun. Di bumi Mekah, al-Syafi'i mula menuntut ilmu. la bermula dengan menghafal al-Quran yang mengambil tempoh yang singkat sahaja. Kemudian beliau menumpukan kepada hadis
Beliau telah pergi ke kawasan pedalaman, hidup bersama Bani Huzail selama sepuluh tahun bagi memantapkan ilmu bahasa arab. Di situlah beliau mula mengenali sejarah masyarakat Arab dan menghafal puisi mereka.
Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di Mekah. Beliau mula belajar daripada para ulama tempatan. Tidak berapa lama di situ beliau muncul sebagai ahli tafsir yang mahir, ahli fiqh yang matang dan pakar dalam bahasa, walaupun pada waktu itu usianya masih sangat muda. Dengan keunggulannya itu beliau mula mengajar kepada orang ramai di Masjid al-Haram.
Untuk menambah ilmunya, al-Imam al-Syafi'i kemudiannya berpindah ke Madinah untuk menuntut ilmu dengan al-Imam Malik (179H), pemimpin aliran Madinah yang namanya masyhur di seluruh dunia Islam ketika itu.
`Sebelum pergi ke Madinah beliau telah menghafal kitab al-Muwatta karangan al-Imam Malik. Sesudah berada di Madinah di bawah bimbingan al-Imam Maalik beliau terus menjadi pelajar sepenuh masa kepada imam tersebut sehinggalah al-Imam Malik meninggal dunia pada tahun 179H. Pada waktu itu al-Syafi'i sudah mencapai umur 29 tahun, iaitu selepas lebih sepuluh tahun berada di Madinah. Ini bererti al-Syafi'i telah mempelajari semua ilmu aliran Hijjaz samada dari para guru beliau di Mekah mahupun dari para guru beliau di Madinah. Tidak berapa lama selepas kematian al-Imam Malik, al-Syafi'i kembali semula ke Mekah.
Kemasyhuran beliau kemudiannya tersebar luas, bukan sahaja di Yaman tetapi juga di daerah-­daerah lain. Oleh kedudukan beliau yang masyhur ini para bekas guru beliau di Mekah mencadangkan supaya al-Syafi'i tidak lagi bekerja dengan kerajaan, tetapi sebaliknya menumpukan kepada bidang ilmu. Bagaimana pun beliau memilih untuk terus menjadi pegawai kerajaan dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai pegawai di Najran.
Dalam melaksanakan tugasnya di Najran al-Syafi'i difitnah sebagai menentang kerajaan. Dengan itu beliau telah di bawa mengadap khalifah Harun Amin al-Rasyid di Baghdad. Di ibu kota, negara Islam itu beliau terlepas daripada hukuman bunuh atas campur tangan seorang ulama besar Baghdad pada waktu itu, Muhammad Ibn al-Hasaan, murid kepada al-Imam Abu Hanifah. Beliau kemudiannya diserahkan oleh khalifah kepada Muhammad Ibn al-Hasan sebagai penjaminnya.
Peluang berada di samping ulama besar Iraq itu telah diambil sepenuhnya oleh al-Syafi'i untuk mempelajari Fiqh Iraq. Pada waktu itu beliau berusia tiga puluh empaat tahun, iaitu pada tahun 184 hijrah. Untuk itu beliau mula membaca buku-buku karangan Muhammad Ibn al-Hasan dan mengikuti kelas-kelas pengajarannya.
Apabila Muhammad Ibn al-Hasan meninggal dunia pada tahun 189 Hijrah, al-Syafi'i pulang ke Mekah. Di Mekah beliau menyambung tugas keilmuannya dengan lebih sempurna. Kerana pada waktu itu dia bukan sahaja mahir dalam fiqh Hijjaz, tetapi juga mahir dalam fiqh Iraq. Dengan kata lain, beliau sebenarnya telah terbentuk sebagai suatu faktor yang berbeza daripada aliran-aliran yang sudah ada pada waktu itu.
Pengasas ilmu Usul al-fiqh.
Kemasyhuran al-Syafi'i di Masjid al-Haram dan pembaharuan yang dicetuskan oleh beliau dalam metodologi fiqh yang dikenali sebagai ilmu usul al-fiqh. Beliau dikatakan sebagai orang pertama menyusun ilmu ini.[4] kemudiannya terus tersebar ke daerah-daerah lain termasuk Iraq. Para ulama pada keseluruhannya menyambut baik perkembangan baru di bidang fiqh itu .
Seorang tokoh ulama di Iraq, Abdul Rahman Ibn Mandi (m.198H) telah menulis surat kepada beliau supaya menulis untuknya sebuah kitab tentang pengertian al-Quran, riwayat-riwayat hadis yang boleh diterima, kewibawaaan Ijma' serta keterangan-keterangan mengenai nasikh dan mansukh dalam al-Quran dan al-Sunnah.. Untuk memenuhi permintaan tersebut al-Syafi'i lalu menulis kitab al-Risalah dan menghantarnya kepada Ibn Mandi melalui al-Harith Ibnu Suraij al-Naqqal al-Khawarizmi (m.236H)[5]
Kejayaan beliau mengasaskan satu disiplin ilmu baru yang kemudiannya dikenali sebagai "Usul al-Fiqh" itu kemudiannya telah meyakinkan al-Syafi'i untuk mengemukakan hasil penyelidikan beliau itu kepada para fuqaha yang lain. Bagi tujuan tersebut beliau memutuskan untuk pergi ke Baghdad, pusat perhimpunan para fuqaha pada waktu itu, sesudah Madinah tidak lagi memainkan peranan seperti itu selepas kematian al-Imam Malik pada tahun 179 Hijrah.
Sebaik sahaja sampai ke Baghdad beliau terus mengajar di al-Jami' al-Gharbi. Dengan segala pemikiran dan metod baru yang dibawanya al-Syafi'i menjadi terkenal dalam dunia keilmuan.[6] Apa yang jelas, beliau telah berjaya menghidupkan kembali pengajian al-Sunnah sebagai asas kepada pengajian fiqh. Sebelum itu al-Sunnah dipelajari dari aspek periwayatannya sahaja.
Pembaharuan yang dibawa oleh beliau itu telah berjaya mewujudkan satu suasana baru dalam dunia keilmuan di Baghdad pada waktu itu. Disamping berjaya mewujudkan satu dimensi baru kapada aktiviti keilmuan di kalangan para ulama hadith, beliau juga berjaya meredakan keterlaluan para fuqaha ahl al-Ra’y dalam mengemukakan hujah bagi mempertahankan pandangan mereka. Malah beliau berjaya mengasaskan satu metod baru yang bersifat kompromi di antara pandangan Ahl al-Hadis dan Ahl al-Ra’y.
Asas-asas metodologi kepada fiqh beliau telah ditulis oleh beliau dalam al-Risalah, sementara mengenai fatwa beliau pula ditulis dalam bukunya al-Hujjah yang juga dikenali sebagai al-Mabsut.
Melalui aktiviti-aktiiti ilmiah beliau ini juga al-Syafi'i berjaya melahirkan banyak para pelajar yang kemudiannya menjadi tokoh-tokoh besar. Antara mereka ialah Ahmad Ibn Hanbal (241H).
Selepas dua tahun berada di Baghdad, al-Syafi'i pulang ke Mekah. Pada mulanya tujuan kepulangan tersebut adalah untuk bertemu bekas guru beliau dan untuk menyelesaikan masalah peribadi sebagai persiapan untuk terus berada di tempat lain daripada Mekah secara menetap, samada di Baghdad atau di mana saja. Oleh kerana itu beliau tidak berada lama di Mekah kerana beliau terus pergi sekali lagi ke Baghdad selepas beberapa bulan sahaja berada di Kota suci itu. Pemergian beliau ke Baghdad buat kali ketiga ini berlaku pada tahun 198H.
Beberapa bulan sahaja di Baghdad, beliau terus ke Mesir dan sampai ke negeri itu pada tahun 198 hijrah. Mengikut sesetengah pengkaji, ada dua sebab mengapa al-Syafi'i tidak berada lama di Baghdad pada kali ini. Kedua-dua sebab tersebut berbangkit daripada penguasaan al-Ma'mun ke atas kerajaan pada waktu itu dan perlantikan beliau sebagai khalifah sesudah kematian bapanya khalifah Harun al­-Rasyid.
Pertamanya, pertentangan antara al-Amin dan al-Ma'mun yang berlaku sebelum perlantikan tersebut sebenarnya pertentangan secara proksi antara dua suku kaum terbesar dalam Negara Islam pada waktu itu, iaitu Arab yang menyokong al-Amin, dan kaum Farsi yang menyokong al-Ma'mun. Kemenangan al-Ma'mun dalam rebutan tersebut tidak boleh diterima oleh al-Syafi'i, kerana ia bererti kemenangan unsur Farsi atas unsur Arab.
Keduanya, al-Ma'mun lebih cenderung kepada golongan Mu'tazilah. iaitu suatu aliran pemikiran yang tidak boleh diterima oleh al-Syafi'i yang berpegang dengan aqidah aliran ahl sunnah wal-jamaah.
Sebaliknya di Mesir, gabenor di daerah tersebut seorang berbangsa Arab keturunan Bani Hasyim, iaitu yang ada ikatan kekeluargaan dengan beliau. Malah sesetengah pengulas berpendapat gabenor itulah yang menjemput al-Syafi'i ke sana.
Di Mesir, populariti beliau di bidang fiqh dan usul al-fiqh ini bertambah dengan cepat sekali. Dalam masa yang singkat sahaja ramai orang menganuti mazhabnya. Ia bukan sahaja berlaku di Mesir, tetapi juga di segenap ceruk rantau dunia Islam pada waktu itu. Di sanalah juga imam al-Syafi’i mengubah qaul beliau yang lama (qaul qadim) semasa di baghdad kepada qaul yang baru (qaul jadid). Ia terkandung dalam karangan fiqh terulung beliau, al-Umm. Ia merupakan renovasi dari kitab al-Hujjah karangan lama beliau semasa di Baghdad.
Pandangan al-Imam al-Syafi’i dalam ilmu Aqidah.
Terdapat beberapat pendirian al-syafi’i dalam soal aqidah. Antaranya ialah: [7]
1.      Sumber utama aqidah adalah al-Quran dan Sunnah. Beliau juga menerima hadith Mutawatir dan hadith Ahad yang sahih sebagai sumber aqidah.
2.      Beliau sangat menentang ilmu kalam yang tidak dipandu oleh al-quran dan sunnah. Ia jelas tergambar dalam kata-katanya sebagaimana berikut, “ jikalau manusia mengetahui hawa nafsu yang terdapat di dalam ilmu kalam, pastinya mereka akan melarikan diri daripadanya seperti mereka melarikan diri dari singa”.
3.      Menerima apa sahaja yang dibawa oleh al-Quran dan as-Sunnah mengenai sifat-sifat Allah tanpa bertanya bagaimana bentuknya, dan tidak pula mentakwilkannya menurut logik akal semata-mata. Beliau juga tidak menafikan mana-mana sifat Allah yang terdapat dalam al- Quran dan as-Sunnah.
4.      Nas-nas diterima mengikut zahirnya, iaitu yang bersesuaian dan layak bagi Allah, tanpa menyamakan Allah dengan makhluk (tasybih), tanpa menafikan sifat Allah (ta’til) dan tanpa mentafsirkan menurut logik akal (takwil).
5.      Imam al-Syafi’i tidak membeza-bezakan para sahabat kecuali dengan apa yang dibawa oleh al-Quran dan sunnah sahaja.[8]
6.      Imam al-Syafi’i menolak Syiah Rafidah. Beliau pernah berkata, “aku tidak pernah melihat di kalangan orang yang sesat dan menuruti hawa nafsu lebih kuat menipu daripada golongan Rafidhah (Syiah).[9]
Kesimpulan.
            Keterbukaan al-Imam al-Syafi’i dalam menerima apa saja bentuk ilmu menjadikan beliau begitu bersifat objektif dalam bidang keilmuan. Bukanlah suatu proses yang mudah untuk kekal menghormati keilmuan aliran hadith (madrasah al-Hadith) disamping melakukan anjakan paradigma di bawah pengaruh aliran pemikiran ( madrasah al-Ra’y). Malah lebih sukar lagi untuk melakukan kompromi antara kedua-duanya dalam suasana pertentangan pendapat yang tajam berasaskan mentaliti analisis yang benar-benar komprehensif. Paling sukar ialah untuk berurusan dengan masyarakat ilmuan yang terdiri daripada berbagai aliran secara yang boleh mengekalkan rasa hormat menghormati antara satu sama lain. Di kemuncak semua ini beliau adalah seorang faqih yang mempunyai kefahaman yang sangat mendalam tentang syariat Islam.


[1] Ibn Hazm, Jamharah Ansab al- Arab, maktabah misykat al-islamiyah, (t.t), hlm. 20
[2] Ibn Hajar, Tawala al-Ta’sis, hlm. 73
[3] Al-Nawawi, al-Majmu’, jil. 1, hlm. 14
[4] Ibn Khaldun, Muqaddimah, maktabah at-tijaryah al-kubra, kahirah, (t.t), hlm. 452
[5] Yaqut al-Hamawi, Mu’jam al-Udaba’, jld. 17, hlm. 313
[6] An-Nawawi, Tahdzib,  jld. 1, hlm. 63
[7] Al-Dhahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, jld. 10, hlm. 16
[8] Al-Razi, Adab al-Syafi’i wa Manaqibuhu, hlm. 189
[9] Ibid. hlm. 187