Saturday, April 4, 2009

Dakwah atau politik??


Politik???.Memang benar, Rasulullah SAW juga berpolitik, tetapi baginda tidak mencontohkan politik pada permulaan Islam. Sebaliknya baginda menumpukan kepada pembinaan ummat, mencetak generasi Rabbani terlebih dahulu. Atau dalam erti kata lain, berdakwah untuk membina insan-insan yang beriman, sanggup berkorban jiwa dan raga untuk Islam. Berdakwah untuk melahirkan lebih ramai pendakwah.
Kalau kita nak menangani masalah umat, kita kena cari punca masalahnya. Kita kena selesaikan masalah akarnya terlebih dahulu, ataupun ia akan menimbulkan masalah-masalah lain. Analogikan sebatang pokok mempelam, ranting-ranting serta dahannya berjurai ke dalam pagar rumah kita. Ini justeru amat menggangu ketenteraman kita. Apa yang kita kena buat? Kerat ranting-ranting serta dahan-dahan itu? Ia hanya akan menyelesaikan masalah buat seketika, tidak lama kemudian dahan akan tumbuh kembali. Solusi yang paling tepat ialah? Kita tebang! Gitu caranya, sampai bila-bila pun pokok itu takkan menganggu kita lagi.

Begitu juga dengan permasalahan ummat sekarang. Sekarang kita melihat ummat buat maksiat, berzina, minum arak dan tinggalkan solat. Lepas tu dgn kuasa yang ada pada kita, memaksa mereka meninggalkan maksiat, memaksa mereka bersolat, menghukum mereka yg melanggar hukum-hukum Islam. Ceramah-ceramah kita tekankan,"Jangan berzina, haram, dalilnya....","Aurat wajib ditutup! Dalilnya.." dan sebagainya. Tetapi kita tidak pernah mengkaji mengapa mereka melakukan maksiat. Adakah kerana mereka tidak tahu hukum? Bukan.. Masalah umat sekarang adalah Masalah Aqidah. Kurangnya kefahaman terhadap mengapa perlu tunduk kepada Islam. Kurangnya kefahaman mengapa perlunya kita mentaati setiap perintah Allah. Jadi ini yang perlu diselesaikan. Pemahaman perlu diberikan kepada umat. Dalam kata yang lebih mudah, DAKWAH & TARBIYAH perlu berjalan seiring dan rutin!! Sekarang ni kita tengok ramai orang berbuat maksiat adalah sebab kita tidak berdakwah kepada mereka. Kita tidak pernah melakukan pendekatan peribadi kepada mereka, membimbing serta membantu mereka.

Maaf kalau ana katakan, kalau dakwah berjalan, kita tidak perlu susah-susah kempen sana sini supaya orang sokong Parti Islam. Kalau dakwah berjalan, orang-orang yang telah ditarbiyah ini semuanya akan secara automatik memilih orang yang beriman sebagai ketua mereka. Lihat sahaja contoh yang ditunjukkan baginda Nabi SAW. Ketika nak menubuhkan negara Islam di Madinah, baginda tidak adapun berkempen untuk orang-orang Madinah mengangkatnya sebagai ketua. Ketika itu ada Abdullah bin Ubay bin Salul yang sangat-sangat berpengaruh. Tidak ada pilihanraya pun diakukan. Ini kerana orang-orang Madinah ketika itu sudah beriman semuanya. Kita singkap kembali sirah,3 tahun sebelum hijrahnya Nabi dan Abu Bakar ke Madinah, Rasulullah telah terlebih dahulu menghantar Mus'ab bin Umair dan Abdullah Ibnu Maktum ke Madinah. Untuk berkempen pilih Rasulullah jadi pemimpin ke? Tidak..tetapi untuk berdakwah menyebarkan Islam kepada masyarakat Madinah. Barulah ketika itu hukum-hukum Islam boleh dilaksanakan dengan saksamanya, ketika semua orang bersedia untuk mengambil Islam sebagai hukum.

Bayangkan sekarang, jika hukum-hukum hudud tiba-tiba dilaksanakan, siapa yang akan memberontak? Orang-orang yang bermaksiat inilah. Mereka yang menjadikan zina, arak, judi dan lain-lain yang sewaktu dengannya sebagai rutin harian mereka. Apabila aurat diwajibkan untuk ditutup, siapa yang akan bangkit melawan? Pemain-pemain bola sepak Malaysia.. Apabila hijab muslimah sebenar wajib dikenakan, siapa yang akan protes? Kawan-kawan kita yang tudungnya main selempang sana sini (macam tudung botol), yang pakai seluar jeans ketat, yang berpegang pada dalil kepala otak sendiri mulalah berhujah, "Allah tidak tengok rupa, yang penting hati mau baik
", dan lain-lain 1001 macam ragam manusia. Jangan salahkan mereka, tapi salahkan diri kita sendiri. Selama ini kita tidak pernah berusaha untuk mengingatkan mereka, sehingga mereka semakin jauh daripda kebenaran.

Yang paling penting, adakah dengan kaedah kekuasaan dan penetapan hukum undang-undang, dapat memastikan bahawa maksiat akan dapat dihapuskan? Baik, sekarang kita hendak hentikan judi daripada berleluasa, pelacur-pelacur tidak lagi melacur dan arak tidak lagi diminum. Jadi dengan kekuasaan yang ada, kita tutup semua pusat-pusat judi. Genting Highland tu, bom aje. Semua kelab-kelab malam, tutup! Kedai-kedai arak, haramkan semua. Aset-aset kta bekukan dan rampas semuanya. Fikirkan, selesaikah masalah? Umat akan berhenti bermaksiatkah? Tidak sama sekali. Malah mereka akan lebih kreatif dalam mencari alternatif-alternatif lain untuk memuaskan nafsu mereka. Lihat contoh di ibu kota, apabila pencegah maksiat kuat meronda di taman-taman, pasangan-pasangan yang ingin berzina ini mencari alternatif lain, buat projek dalam teksi! Mereka akan tetap minum arak, berzina dan berjudi, sebab itulah yang disukai mereka. Inilah yang berlaku jika kita hanya memaksa tanpa memberi kefahaman terlebih dahulu. Laksanakan hudud pun, orang-orang yang masih terlepas, melihat kepada pesalah zina yang dihukum, akan berfikir,"Bodoh mamat tu.. Nak berzina pandai-pandailah cover. Tak professional. Aku tak kantoi pun." Astaghfirullah...bukan ini yang kita mahukan, bukan ini yang kita harapkan. Kalau di zaman Rasulullah, penzina itu sendiri yang pergi mengaku dan meminta dihukum. Macam mana nak ada generasi seperti ini, yang sanggup mengaku kesalahannya, serta mahu dihukum, andai dakwah serta tarbiyah tidak berjalan? Andaikan seseorang itu telah ditarbiyah dan diberi kefahaman. Diberi sebuah bilik terkunci dengan pelacur-pelacur yang rupawan sekalipun, insya-Allah, dia tidak akan berzina. Kerana dia sangat-sangat yakin akan dosa dan azab yang bakal diterimanya. Ana bukan niat menolak hukum hudud. Ia memang satu hukum yang wajib dilaksanakan. Tetapi perlaksanaannya perlu disertai dengan kefahaman. Dalam erti kata dakwah perlu diperhebat agar mereka dapat menerima hukum-hukum ini. Seandainya kita sudah memegang tampuk pemerintahan, maka laksanakan sahaja.


Maaf, ana tak kata bahawa politik tidak perlu dijalankan. Rasulullah juga berpolitik. Mengapa kita perlu menolak sesuatu yang telah dilakukan oleh Rasulullah? Cuma yang menjadi masalahnya adalah apabila kita memahami serta menganggap bahawa berpolitik adalah satu-satunya cara untuk berdakwah dan menegakkan Negara Islam. Kita boleh berpolitik, tetapi berpolitik dengan cara Islam ajar (bukan dengan cara sekular), kita boleh berpolitik tapi sebagai salah satu cara berdakwah. Maknanya dengan berpolitik kita akan menarik seramai-ramainya orang untuk kita tarbiyah serta beri kefahaman mengenai Islam dan kemudiannya berdakwah kepada masyarakat. Kita lihat contoh HAMAS. Kaji dengan teliti, HAMAS tidak bangkit dengan berpolitik. Politik ini hanya kesan daripada dakwah yang mereka lakukan. HAMAS diasaskan oleh As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin. Beliau pulang dari Mesir pada tahun 1968. Syeikh Yassin pada asalnya menuntut di Universiti Ain Syams dan kemudiannya pada tahun yang kedua dihantar pulang kerana terlibat dengan Ikhwanul Muslimin. Sekembalinya beliau ke Palestin, beliau menarik perhatian generasi-generasi muda melalui khutbah Jumaatnya. Dari situ pemuda-pemuda yang berminat ini beliau tarbiyah. Kemudian, Intifadah yang pertama tercetus pada tahun 1988. Lihat, 20 tahun Syeikh Yassin mentarbiyah penduduk-penduduk palestin. 20 tahun dakwah dijalankan. HAMAS akhirnya hanya memasuki politik bermula pada awal 2000. Lihat dengan teliti, pergerakan HAMAS bermula dengan dakwah. Dan HAMAS tidak perlu bersusah-payah berkempen, walaupun satu dunia berkempen yang buruk-buruk mengenai HAMAS. Tetapi HAMAS tetap menguasai 76 kerusi daripada 132 kerusi yang dipertandingkan di seluruh Palestin dalam pilihanraya 2006. Rakyat Palestin amat menyokong HAMAS kerana kesan dakwah yang telah diasaskan lebih daripada 70 tahun. Sekali lagi, 70 tahun. Kesimpulannya, politik itu penting, tetapi ia hanyalah sebagai alat untuk memperjuangkan dakwah.

Afwan jiddan, ana menulis bukan kerana hendak mengajak kita semua memboikot Parti-Parti Islam, menjatuhkan satu pihak atau menyokong mana-mana pihak. Cuma ana mengajak kita semua fikirkan, bagaimana hendak menyuburkan Islam di bumi di mana sahaja kita berpijak. Sebarkan fikrah Islam, bukannya mengajak orang kepada parti dan bendera semata. Jika pilihanraya diadakan, kita tiada pilihan lain, selain daripada memilih berisan alternatif. Mana mungkin kita memilih pemimpin yang akan menjadikan Islam sebagai mainan dan senda gurau? Dan ana menulis bukan untuk menolak kita melaksanakan hukum hudud. Tetapi ana mahu mengajak kita semua membuka mata, fikirkan bagaimana agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan dan harmoni.

Inilah yang dikatakan oleh Syeikh Mustafa Masyhur, “Tarbiyah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak berguna tanpa tarbiyah.” Mungkin ada yang mengatakan, “Nak kena tarbiyah dulu, tunggu semua orang beriman dulu, bila nak tertegaknya daulah Islam?” Apabila ada orang berdakwah, pasti akan ada yang menghalang. Apabila adanya Musa, maka ada pula Firaun. Dan Firaun pula dibantu oleh menteri kanannya, Haman. Ada juga Qarun, dan kedegilan Bani Israil. Sunnatullah memang begitu. Apabila beberapa orang menyeru ke jalan Allah, maka akan lebih ramai yang menyeru ke jalan Taghut..... Tetapi ia tidak mustahil, jika kita tetap terus istiqamah berdakwah.

Jika realiti ini berlaku, insya-Allah jika ada pilihanraya 20 tahun akan datang, kita akan buat puak-puak sekular ini terkejut dengan kemenangan kita yang tiba-tiba. Tiada kempen itu ini, sana sini, sedar-sedar dah menang pilihanraya. Mari sama-sama kita berdakwah. Kita akan berpolitik, tetapi apabila sampai masanya. Ketika dakwah telah berkembang, ketika telah ramai yang menerima Islam. Tetapi pastikan, luruskan niat untuk berdakwah. Bukan berdakwah mengajak orang kepada jemaah, tetapi kepada Allah, untuk mengagungkan Allah SWT. Yang paling pasti, semuanya hanya akan berlaku dengan izin Allah. Insya-Allah…

Kata-kata ana mungkin benar mungkin saja salah. Boleh sahaja ia diterima, boleh sahaja ditolak. Tetapi kata-kata Allah dan Rasul-Nya yang haq dan benar. Afwan kerana apa yang ana tulis mungkin bernada mengkritik dan beremosi. Semoga kita terus berjuang menegakkan Islam, semata-mata kerana Allah Ta’ala.
Wallahu A'lam- artikel dari seorang sahabat.

1 comment:

  1. assalam.
    alhamdulillah, pekongsiann yang membuka mata ana dn memberikan semangat kpd ana utk terus istiqamah dlm jalan dakwah ini, insaAllah.

    em, ana rasa ada sdikit kesalahan dlm pnggunaan perkataan afwan. kalau x silap, afwan bermaksud sama-sama dan asif bermaksud sy minta maaf.

    wallahu'alam.
    fi amanillah.

    ReplyDelete