Makanan adalah salah satu keperluan kepada semua benda hidup termasuk manusia, haiwan dan tumbuhan. Pada umumnya, fungsi makanan adalah sebagai sumber yang akan dicerna di dalam badan untuk menghasilkan tenaga. Di dalam ilmu antropologi, makanan mempunyai peranan yang terjalin rapi dalam semua aspek kehidupan harian, iaitu dari segi sosial, keagamaan dan ekonomi. Jadi, makanan ialah suatu bahagian yang terpenting dalam cara sesebuah masyarakat mengatur kehidupan dan cara masyarakat melihat dunia yang dialami ini.
Pengambilan makanan pada asalnya adalah harus dalam Islam. Ini bersumberkan dari ayat al-Quran. Firman Allah di dalam surah al-A’raf:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ (31)
Maksudnya: dan makan dan minumlah dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.
(surah al-A’raf: 31)
Namun begitu, hukumnya akan berubah mengikut situasi dan syarat tertentu. Dari segi situasi, misalnya seorang yang diyakini akan mati sekiranya tidak makan, maka hukumnya wajib makan untuk selamatkan nyawanya dari terancam. Dari segi syarat pula, makanan yang diambil mestilah yang dihalalkan dalam Islam dan tidak memudhāratkan. Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal makanan dan penggunaan barangan lain yang boleh memudhāratkan kesejahteraan hidup umatnya. Jawatankuasa Syariah negeri Perak, dalam satu mesyuarat pada 22 oktober 2002 memberikan pandangan yang berikut:
” Mesyuarat jawatankuasa Syariah yang bersidang pada 15 Syaaban 1423H bersamaan 22 Oktober 2002...telah memutuskan bahawa tiada Fatwa yang telah dibuat khusus mengenai bahan-bahan kimia yang terdapat di dalam di dalam makanan, namun apabila diyakini bahawa bahan itu memudaratkan maka hukumnya adalah haram berdasarkan ayat 195, surah al-Baqarah:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Bermaksud : Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu dalam kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah, Ayat : 195)
Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas:
حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَنْبَأَنَا مَعْمَرٌ عَنْ جَابِرٍ الْجُعْفِيِّ عَنْ عِكْرِمَةَ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَار[1]
Maksudnya: Tidak ada kemudhāratan dan tidak memudhāratkan.
Dalam satu kaedah fiqh ada disebutkan:
الضرر يزال[2]
Maksudnya: ”kemudhāratan itu mesti dihapuskan.”
Jelas di sini bahawa, Islam melarang keras terhadap sebarang perkara yang boleh merosakkan umatnya sama ada jangka waktu yang panjang atau singkat. Justeru itu, umat Islam perlu peka terhadap perkembangan maklumat mengenai makanan dan barangan yang mengandungi bahan yang boleh memudhāratkan kesihatan mereka.
Satu kajian telah dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang mengenai penggunaan bahan-bahan kimia yang memudhāratkan kesihatan sama ada di dalam makanan atau yang tersebar di alam sekitar yang bertanggungjawab terhadap peningkatan kes-kes kanser dan penyakit yang serius.
Menurut kajian daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa, hospital-hospital kerajaan di seluruh negara merekodkan sejumlah 11,655 kemasukan pesakit kanser dan 1,335 kematian akibat penyakit itu pada 1996. Peningkatan drastik kes-kes kanser di negara ini tidak menghairankan apabila memikirkan bahan karsinogen (bahan penyebab kanser) tersebar dengan meluas dalam alam sekitar. Antaranya tembakau, radiasi, asbestos, racun makhluk perosak, benzena, formaldehid, steroid, PCBs dan juga pelarut.
No comments:
Post a Comment