Saturday, January 15, 2011

Tragedi Natrah versi baru

Kes murtad bukan lagi isu baru dalam negara kita yang dikatakan sebuah negara Islam dan menjadikan Islam sebagai agama persekutuan. Bahkan ia telah mendapat perhatian sejak dari peristiwa Natrah pada tahun 1947. Peristiwa yang menyaksikan gelombang kebangkitan Melayu-Islam yang bersatu tanpa mengira ideologi politik, menyebabkan 15 orang terkorban dan ratusan yang lain tercedera. Ia berpunca disebabkan bantahan terhadap keputusan mahkamah di Singapura yang membenarkan keluarga kandung Natrah yang beragama kristian membawanya pulang dan memisahkan beliau yang ketika itu berusia 13 tahun daripada suaminya, Mansor Adabi.

Dengan erti kata lain, Natrah yang asalnya beragama Islam telah dipaksa oleh keluarga kandungnya menganut agama Kristian. Peguam bela Natrah ketika itu, Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim terasa amat kecewa ketika itu. Ramai pengkaji Islam hari ini melihat bahawa, peristiwa Natrah versi baru akan muncul dan sekali lagi bakal mengganggu gugat maruah umat Islam dalam usaha menghapuskan Islam sedikit demi sedikit.

Saban waktu, kes murtad yang berlaku di negara kita semakin menjadi-jadi. Kes yang direkodkan oleh jabatan-jabatan agama islam juga semakin hari semakin bertambah. Itu tidak termasuk kes murtad yang tidak dimaklumkan di mana-mana Jabatan Agama Islam mahupun Jabatan Pendaftaran Negara.Kesucian agama Islam semakin lama semakin tercabar oleh golongan musuh Islam. Ironinya jika kita sebagai umat Islam tidak bertindak bermula dari sekarang, maka akhirnya Islam hanya tinggal pada nama saja di negara Malaysia.

Kes murtad hari ini telah mengalami perubahan berbanding 60 tahun dahulu. Kalau dahulu, kes Natrah melibatkan ibu bapa kandung yang bukan Islam. Namun hari ini, kes murtad yang berlaku di kalangan umat Islam di Malaysia melibatkan keluarga Islam yang mengamalkan ajaran Islam dengan sebenar-benarnya semakin bertambah. Sebagai contoh, kes Aisyah Bukhari (tahun 1997) yang dikendalikan oleh peguam syarie Zulkifli Nordin dilihat sebagai peristiwa yang menggugat sistem pertahanan akidah umat Islam di Malaysia. Ini kerana, jika dilihat daripada latar belakang wanita ini, boleh dikatakan dia telah menerima didikan agama yang tinggi. Bahkan bapanya, Hj. Bukhari merupakan seorang imam masjid.

Kemuncak kepada kes-kes ini adalah perbicaraan kes berkenaan tuntutan Lina Joy untuk menukar status agama Islam kepada bukan beragama Islam di dalam kad pengenalan beliau dan mempersoalkan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan. Tidak cukup dengan itu, timbul pula cadangan penubuhan Interfaith Council (IFC) bertujuan untuk mencabar kedudukan Islam melalui Undang-undang Perlembagaan dalam Perkara 3, 8,11, 12, 121(1A), 150(6A), dan 160. Hal ini dilihat sebagai niat jahat pihak tertentu dalam usaha menidakkan keberadaan Islam yang sekian lama telah diamalkan di negara kita.

Secara keseluruhannya, kita mendapati bahawa antara punca berlakunya murtad di kalangn umat Islam di negara ini adalah disebabkan oleh sikap orang itu sendiri yang tidak berpegang kepada ajaran Islam sebenar sebagaimana yang telah disyariatkan. Pelbagai pihak terutamanya kerajaan haruslah bertanggungjawab memastikan bahawa ajaran Islam di negara ini dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa ragu-ragu dengan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri serta umat Islam yang majoritinya mendiami bumi Malaysia. Masih wujud peluang untuk memperbaiki kekurangan dalam Perlembagaan dalam memelihara kesucian akidah umat Islam di Malaysia.

No comments:

Post a Comment