Dalam kehidupan seharian, kita tidak terlepas dari membuat pilihan. Tidak kira samada dalam hal peribadi mahupun hal berkaitan masyarakat, kita terpaksa membuat keputusan yang kita rasakan paling tepat demi menjaga kepentingan peribadi mahupun kepentingan awam.
Antara ajaran yang ditinggalkan oleh rasul-Nya yang mulia, Muhammad SAW adalah amalan Syura. Syura adalah suatu kaedah yang penting dan perlu diamalkan dalam semua aspek kehidupan. Syura merupakan suatu keperluan kerana semua manusia memerlukan perbincangan. Bahkan, Syura akan mewujudkan perbezaan pendapat dan pengalaman antara satu dengan yang lain dan akhirnya ia mampu melahirkan suatu keputusan yang terbaik berbanding pendapat individu.
1. Disebutkan oleh Allah SWT:
فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ
“Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu”. (Surah Ali-Imran 3:159)
Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Rasulullah SAW sering bermesyuarat dengan para sahabat baginda demi menenangkan hati para sahabat dan supaya lebih bersemangat melaksanakan sesuatu perkara yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ
“Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka”.
(Surah asy-Syuura 32:38)
Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim juga diterangkan, dengan wujudnya amalan Syura di kalangan umat Islam ketika itu telah membantu mereka dalam memantapkan pendirian mereka. Sebagai contoh, wujudnya Syura dalam peristiwa perang yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ ar-Rasyidin. Ibn Kathir menjelaskan bahawa, Rasulullah sendiri bermesyuarat dalam semua peperangan yang disertai baginda.
Firman Allah SWT maksudnya:“Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu Dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya)”.
(Surah al-Baqarah 2:233)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bagaimana cara yang sepatutnya dilakukan antara ibu bapa sebelum membuat keputusan untuk menceraikan anak mereka daripada susuan si ibu. Menurut pandangan ath-Thauri, dalam membuat keputusan ini memerlukan perbincangan agar hak si anak tadi tidak diabaikan.
Dalam kehidupan Rasulullah sendiri, baginda kerap mengamalkan Syura dalam membuat keputusan. Bahkan, dalam hal keluarga baginda juga akan bermesyuarat. Sabda baginda SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib RA:
مشاورة أهل الرأي ثم اتباعهم
“(Apabila) ahli syura bermesyuarat (dalam suatu perkara), ikutlah (pandangan dari) mereka”.
Semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar RA, beliau akan memanggil para fuqaha dan pemuka-pemuka dari kaum Muhajirin dan Ansar iaitu Umar, Uthman, Ali, Abdul Rahman ibn ‘Auf, Mu’az ibn Jabal, Ubai ibn Ka’ab dan Zaid ibn Thabit untuk menyelesaikan masalah berkaitan kerajaan beliau. Kesemua mereka telah berfatwa di zaman pemerintahan beliau.
Sewaktu Khalifah Umar ibn al-Khattab RA hampir wafat, beliau telah memerintahkan para sahabat memanggil enam orang sahabat yang mulia iaitu Uthman, Ali, Abdul Rahman ibn ‘Auf, Saad ibn Abi Waqas, al-Zubair dan Talhah berada di sisi beliau. Selepas dikumpulkan keenam-enam orang sahabat tersebut, lalu Umar RA telah berucap panjang. Selepas beliau memberikan amanat kepada para sahabat yang hadir, beliau pun berkata:
تشاوروا ثلاثا ويصلى بالناس صهيب
“Bermesyuaratlah kamu semua selama tiga hari berturut-turut dan Sohaib sebagai imam dalam solat jemaah”.
Selepas kewafatan Khalifah Umar, para sahabat telah bermesyuarat selama tiga hari berturut-turut. Akhirnya Majlis Syura sepakat berbai’ah dengan Uthman ibn Affan sebagai Khalifah umat Islam yang ketiga.
Terlalu banyak kisah berkaitan amalan Syura yang telah diamalkan di zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ ar-Rasyidin yang tidak sempat dinukilkan di sini. Cukup sekadar beberapa kisah yang dipaparkan di sini sebagai panduan dan contoh untuk kita memahami konsep dan kelebihan syura yang telah dipraktikkan oleh mereka.
Kesimpulannya, Syura adalah pendekatan Islam dalam merealisasikan keadilan dalam masyarakat. ia juga membentuk masyarakat yang progresif melalui kerjasama pemikiran secara kolektif. Amat wajar sekali dalam konteks masyarakat hari ini, dihidupkan kembali amalan syura ini dalam setiap institusi tidak kira samada dari kalangan pemimpin mahupun rakyat jelata untuk mengelakkan berlakunya autokrasi dan pemerintahan kuku besi.
No comments:
Post a Comment